Jumaat, September 18, 2009

Aidilfitri Sempurna

2 tahun lepas orang sibuk takbir malam raya, jam 10 baru keluar daripada pejabat. Orang sibuk bertandang rumah sanak-saudara, hari raya ke-2 sudah masuk pejabat semula. Sayu betul. sebab 'menghambakan' diri pada kerja. Setahun lepas, hari raya pertama tidur sampai petang. Alasan penat tolong orang meniaga lemang malam raya. Padan muka aku kurang duit raya sebab tak jumpa saudara-mara.

Benar-lah kata orang, makin meningkat usia, makin lama melihat dunia, tiada apa yang istimewa tentang aidilfitri. Istimewa di sini maksud aku seronoknya menunggu dan berhari raya sewaktu zaman kanak-kanak, usia belum akil baligh tak fikir tanggungjawab masa depan semua. Waktu itu hari raya memang waktu yang kita semua nanti-nantikan. Walau puasa 'tipu' buat-buat penat walhal sudah ke sungai mandi menyelam telan air. Memori.
Hari raya di usia kanak-kanak adalah hari paling bahagia. Hari paling 'banyak pegang duit'. Kalau boleh, hendak dibanding-bandingkan 'kutipan duit raya' tahun ini dengan tahun sebelum-sebelumnya. Juga hari raya beerti satu 'set' dari atas ke bawah badan, baju dan seluarnya semua baru-baru. Setahun sekali beraya mesti seronok tersenyum sampai ke telinga menyarung baju seluar baru, tak kisah-lah jenama Ladybird ke, Kiki Lala ke. Setahun sekali merasa.
Rindu betul zaman kanak-kanak.

Aidilfitri sempurna bagi aku sekarang beerti hari untuk 'mengumpul' adik-beradik serta kaum keluarga lain. Bertanya khabar serta bermaaf-maafan. Dan tidak memeranjatkan jika kawan yang bertahun tidak bertegur sapa boleh kembali pulih hubungan mereka. Itu 'penangan' hari raya. Hari kemenangan umat Islam.
Itu erti hari raya untuk aku sekarang.

Cepat betul masa berlalu. Terasa macam baru sahaja menyambut aidilfitri tahun lalu.

Buat yang mengenali aku, mohon maaf jika ada terkasar bahasa dan perbuatan. Tidak lupa, hati-hati memandu buat mereka yang pulang ke kampung halaman. Selamat pergi dan selamat kembali.
Salam Aidilfitri 1430 Hijrah daripada aku.
Tulus ikhlas.

1 ulasan:

farn. berkata...

i feel you homie. aku sekarang dalam account ada £13 untuk hidup 2 minggu. dah boleh mula merompak lah sekarang ni kan.